Selasa, 7 Ogos 2012

MEMBINA KEMAHIRAN LISAN

MEMBINA KEMAHIRAN LISAN PENGENALAN Mengikut Kamus Dewan edisi keempat, membina bermaksud membuat sehingga terdiri sesuatu. Namun, dalam konteks Bahasa Melayu, membina dapatlah dieertikan sebagai memajukan dan meninggikan mutu dan taraf serta memperkukuhkan kedudukan sesuatu. Kemahiran pula bermaksud kecekapan atau kepandaian, lisan diertikan sebagai sesuatu yang diucapkan dengan mulut. Kesimpulannya, membina kemahiran lisan bolehlah disifatkan sebagai meninggikan mutu kecekapan murid dalam aktviti pertuturan atau percakapan. Kemahiran lisan meliputi kemahiran mendengar dan bertutur. Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan aspek asas yang paling penting dalam kemahiran berbahasa. Untuk menguasai kemahiran lisan dengan baik, murid perlu menguasai kemahiran mendengar dan bertutur. Berdasarkan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah KBSR ( 1983:3 ), pengajaran dan pembelajaran kemahiran lisan Bahasa Melayu bertujuan; a) Mendengar dan memahami pertuturan dan siaran yang terdapat dalam kehidupan sehari-hari sama ada di dalam atau di luar rumah. b) Bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbagai keadaan perhubungan seperti perbualan dengan rakan-rakan guru, ibu bapa dan sebagainya, serta dalam majlis bahasa, syarahan dan lain-lain. 1 1. KEMAHIRAN MENDENGAR Berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran KBSR Bahasa Melayu, kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan serta dapat memberikan maklum balas. Dalam proses mendengar, seorang murid harus dapat mengecam, mengenal dan mengamati apa yang didengar. Seseorang individu itu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalaman daripada kecerdasan otak. Jalango (1992) menyatakan bahawa kemahiran lisan melibatkan tiga perkara penting, iaitu; a) Pendengaran ( hearing ) - Iaitu proses fisiologi yang merangkumi ketajaman pendengaran atau keupayaan mendengar dan persepsi pendengaran iaitu keupayaan untuk membezakan bunyi-bunyi, mengadun bunyi-bunyi dan menyimpan urutan bunyi dalam ingatan. b) Mendengar ( listening ) - Merupakan bentuk tingkah laku persepsi iaitu memberi tumpuan, menjadi peka dan memilih petunjuk-petunjuk isyarat (cues) daripada persekitaran. c) Menilai Bunyi ( auding ) - Tingkah laku pemahaman yang bermula daripada pendengaran dan mendengar. Auding termasuklah memperoleh makna daripada apa yang didengar, menghubungkaitkan bunyi sesuatu yang sudah diketahui, menyusun, membayangkan dan menghargai apa yang didengar. 2 1.1 Objektif Kemahiran Mendengar Melalui kemahiran mendengar, seseorang itu boleh; a) Memperoleh idea b) Mencari isi-isi penting c) Melakukan arahan dan tindak balas d) Mengenal pasti perkara yang berhubungan dan tidak berhubungan e) Mengenal pasti isi-isi yang tersirat f) Mentafsir makna-makna yang tersirat g) Mengenal pasti ‘mood’ penutur, situasi, keadaan dan tempat h) Mengesan pengaruh penutur sama ada menggunakan logik atau propaganda, iaitu seperti memberi yang baik sahaja, menggunakan nama-nama orang yang terkemuka atau mengulang sebut apa yang diperkatakan 1.2 Keperluan Mendengar Menurut Abdul Aziz Talib ( 2002 ), keperluan mendengar berbeza mengikut situasi, iaitu secara formal dan tidak formal. Keperluan mendengar secara formal berlaku ketika berada di sekolah seperti mendengar bahan-bahan yang berbentuk akademik seperti syarahan, pidato, kuiz dan sebagainya. Kemahiran mendengar dalam situasi tidak formal berlaku di rumah, ketika bermain dengan rakan dan sebagainya. Keperluan mendengar sama ada secara formal atau tidak formal dapat dilihat dari segi tujuan kita mendengar. Abdul Aziz Talib memberikan tiga tujuan kita mendengar, iaitu; a) Mendengar dalam interaksi sosial seperti berbual dan bermesyuarat b) Mendengar untuk mendapatkan hiburan seperti mendengar radio. Menonton televisyen atau wayang. c) Mendengar untuk mendapatkan maklumat ceramah atau syarahan. 3 1.3 Kemahiran Mendengar Kemahiran mendengar dapat dibahagikan kepada beberapa jenis kemahiran, iaitu; a) Mendengar secara intensif - Kemahiran ini dilakukan melalui latihan dan aktiviti yang formal. Aktiviti ini biasanya dilaksanakan di bawah kelolaan dan pengawasan guru. Contoh aktiviti yang boleh dijalankan ialah, i) Mendengar arahan ii) Menjawab soalan kefahaman iii) Mendengar untuk mendapatkan maklumat iv) Membuat ringkasan b) Mendengar secara ikstensif - Mendengar secara ikstensif ialah latihan yang dijalankan setelah murid-murid dapat menguasai kemahiran mendengar secara intensif. Kemahiran ini dilakukan melalui aktiviti, i) Memberi komen ii) Melengkapkan cerita iii) Mencari isi penting iv) Mendengar dan menilai v) Mendengar dan membuat tafsiran Secara ringkasnya, seseorang murid itu dikatakan mempunyai kemahiran mendengar jika boleh, a) Mendiskriminasikan bunyi-bunyi bukan bahasa b) Mendiskriminasikan unit-unit bunyi bahasa c) Memahami perkataan, konsep dan kemahiran mendengar perkataan d) Memahami ayat-ayat serta lain-lain elemen linguistik bahasa 4 e) Mendengar secara kritikal f) Mengenal bunyi auding g) Mengikut arahan h) Memahami urutan atau sekuan i) Mengingat kembali j) Menentukan idea utama k) Membuat kesimpulan 2.KEMAHIRAN BERTUTUR Bertutur dimaksudkan sebagai kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat-alat sebutan (arkilator) manusia. Kemahiran bertutur bukanlah dicipta oleh kanak-kanak tetapi ditiru dan diajuk. Justeru itu, model-model diperdengarkan haruslah model-model yang yang baik yang membolehkan kanak-kanak bertutur secara berkesan. Oleh itu, orang dewasa perlu menunjukkan model pertuturan yang baik kepada kanak-kanak bagi membolehkan mereka bertutur dengan berkesan. Dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSR pula, kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbicara secara lisan untuk menjalin hubungan, menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul. 2.1 Objektif Kemahiran Bertutur Kemahiran Bertutur diajarkan untuk membolehkan murid-murid bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbagai keadaan perhubungan seperti perbualan dengan rakan-rakan, guru, ibu bapa serta dalam aktiviti perbahasan dan syarahan. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kemahiran bertutur membolehkan murid; 5 a) Menyebut dengan jelas b) Menyampaikan atau melahirkan pendapat c) Menunjukkan arah d) Bertemu ramah e) Memberikan penerangan dan member alasan f) Membina soalan untuk mencari maklumat g) Bertukar-tukar pendapat atau maklumat h) Melaporkan peristiwa dan member sesuatu huraian dengan tepat i) Bertutur secara bertatasusila j) Bertutur dengan menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai dengan pendengar 2.2 Faktor-faktor yang mempengaruhi pertuturan a) Kecerdasan b) Kesihatan c) Fizikal d) Alam sekeliling e) Jantina f) Dwibahasa 2.3 Aspek-aspek pertuturan Terdapat beberapa aspek penting yang harus diberi perhatian dalam kemahiran bertutur, antaranya; a) Sebutan Menyebut perkataan mengikut sistem bunyi bahasa Melayu iaitu sebutan baku. Aspek ini perlu ditekankan kerana ada sesetengah murid yang masih lagi terikat dengan dialek masing-masing termasuk juga dengan sebutan bahasa pasar. 6 b) Tekanan Tekanan ialah cara menyebut perkataan, rangkai kata atau ayat dengan memberikan tekanan pada tempat-tempat tertentu. Tekanan biasanya dilakukan pada suku kata dan bertujuan untuk menandakan keras atau lembut sesuatu pengucapan. c) Mora ( panjang-pendek ) Mora atau panjang-pendek adalah kadar sesuatu bunyi itu dilafazkan. Konsepnya sama dengan ‘harakat’ dalam bahasa Arab. Unsur ini biasanya tidak jelas dalam bahasa Melayu dan kalau adapun ia tidak membezakan makna. Penggunaan unsur ini agak lebih ketara dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. d) Jeda ( persedian ) Unsur ini juga disebut sebagai persendian. Jeda digunakan untuk memisahkan elemen-elemen linguistik seperti perkataan, rangkai kata, atau ayat-ayat. Jeda digunakan sebagai hentian sebentar dalam sesebuah ayat yang diucapkan. Unsur ini boleh membawa makna yang berbeza apabila digunakan. e) Intonasi Intonasi ialah bunyi yang menaik atau menurun sewaktu sesuatu ayat itu dilafazkan. la juga disebut sebagai nada suara. Intonasi ayat dalam bahasa Melayu biasanya tidak sama dan berbeza-beza mengikut jenis ayat yang dituturkan. la boleh menaik, menurun, mendatar dan sebagainya. Ayat tanya biasanya mempunyai intonasi menaik di akhir ayat. f) Nada Nada adalah keadaan bunyi yang menaik atau menurun sewaktu sesuatu perkataan atau suku kata diucapkan. Dalam bidang muzik, kita dapati ada lapan nada iaitu Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti, Do. Setiap nada ini mewakili satu suku kata. Dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat fonemik. Kewujudannya lebih ketara dalam bahasa Cina. 7 g) Tatabahasa Tatabahasa adalah satu sistem, peraturan atau undang-undang yang menggabungkan kata untuk membentuk ayat. Peraturan-peraturan ini mempunyai kaedah dan formula tertentu. la terdiri daripada aspek fonologi, morfologi dan sintaksis. Walaupun lumrahnya dalam bahasa pertuturan tidak mementingkan aspek tatabahasa, tetapi untuk memperoleh kebolehan bertutur yang baik dan berkesan, maka aspek ini haruslah ditekankan. h) Kelancaran Kelancaran bermaksud kebolehan bertutur atau bercakap dengan baik, kemas dan teratur. Individu tidak menghadapi masalah dan tiada gangguan semasa sesuatu perbualan berlangsung i) Kefasihan Kefasihan bererti kebolehan bercakap bukan sahaja dalam bentuk yang kemas, licin, teratur dan lancar tetapi individu juga boleh membunyikan kata atau menyebut perkataan dan ayat-ayat dengan jelas dan tepat. j) Laras Bahasa Kebolehan menggunakan bahasa dalam berbagai-bagai konteks, suasana dan situasi yang sesuai. Tujuannya supaya dapat membentuk berkomunikasi yang berkesan 8 2.4 Peringkat-peringkat kemahiran bertutur a) Peringkat Awal i) Melafazkan pengucapan bertatasusila ii) Mengajuk perkataan dan ayat-ayat yang didengar iii) Menyoal untuk mendapatkan maklumat iv) Membuat teguran atau kenyataan mengenai sesuatu situasi v) Menyoal soalan-soalan mudah berdasarkan situasi tertentu vi) Bertindak balas terhadap soalan-soalan mudah vii) Memberi arahan viii) Membina ayat-ayat tentang diri sendiri, rakan, ibu bapa dan sebagainya ix) Membina ayat daripada gambar-gambar b) Peringkat Pertengahan i) Membuat deskripsi tentang objek atau gambar ii) Bercerita berdasarkan satu gambar tunggal atau gambar-gambar bersiri iii) Mendeskripsi pengalaman atau sesuatu peristiwa iv) Memberi satu siri arahan untuk membuat sesuatu v) Menyoal dan menjawab soalan-soalan berhubung dengan peribadi seseorang, masa bersekolah, persekitaran, di rumah dan sebagainya vi) Membaca iklan dan peraturan-peraturan vii) Memberi ucapan pendek dan mudah viii) Mengambil bahagian dalam perbualan mudah ix) Memberi komen secara mudah x) Membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan secara mudah 9 c) Peringkat Maju i) Mendeskripsi sesuatu peristiwa, kejadian, pengalaman, objek, permainan, proses dan sebagainya ii) Bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa menggunakannya iii) Mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog iv) Bertanya untuk mendapatkan maklumat v) Menerangkan proses, kejadian, prosuder dan peraturan vi) Memberitahu arah atau hala tuju sesuatu tempat vii) Memberi ceramah atau syarahan mengikut teks atau petikan yang disediakan viii) Mengambil bahagian dalam drama atau lakonan ix) Mendeklamasikan puisi x) Menyampaikan komen, laporan atau ulasan xi) Mengkritik cerpen, pendapat, puisi, novel dan sebagainya 3.STRATEGI PENGAJARAN LISAN Untuk mencapai objektif pengajaran lisan, beberapa pendekatan, teknik dan kaedah harus dijalankan supaya murid dapat menguasai kemahiran ini. 3.1 Pendekatan Pengajaran Lisan Dalam pengajaran bahasa terdapat empat pendekatan yang boleh digunakan dalam kemahiran lisan, antaranya; a) Pendekatan Deduktif Pendekatan ini mengutamakan penguasaan bahasa daripada penggunaan bahasa. Guru-guru yang mengajar dengan menggunakan pendekatan ini biasanya memulakan pengajaran dengan menghuraikan undang-undang bahasa yang hendak diajar sebelum memberikan contoh-contoh penggunaannya. Contohnya jika seseorang guru ingin mengajar ayat majmuk, guru tersebut terlebih dahulu akan memberi pengertian tentang ayat tersebut dan seterusnya mengemukakan contoh-contoh ayat tersebut. 10 b) Pendekatan Induktif Berdasarkan pendekatan ini, proses pengajaran dimulakan secara melihat contoh-contoh unsur bahasa yang diajar. Pendekatan ini adalah berlawanan dengan pendekatan deduktif di mana contoh-contoh diberikan terlebih dahulu sebelum guru menghuraikan undang-undang bagi unsur tersebut. c) Pendekatan Elektif Pendekatan ini adalah gabungan antara pendekatan deduktif dan induktif. Kedua-dua pendekatan ini digabungkan untuk membentuk satu strategi pengajaran. Contohnya, guru memulakan pengajaran dengan memberi contoh-contoh yang berkaitan dengan aspek bahasa yang hendak diajar, ini ditambah dengan contoh-contoh yang diberi oleh murid. Murid-murid dipandu untuk sampai kepada undang-undang bahasa, seterusnya mereka didorong untuk memberi contoh-contoh lain dalam konteks yang hampir sama dengan apa yang diajar oleh guru. d) Pendekatan Komunikatif Kecekapan berkomunikasi amat diutamakan dalam pendekatan ini. Murid-murid dilatih untuk berkomunikasi dengan laras bahasa yang sesuai mengikut kemampuan murid. Pendekatan pengajaran ini lebih berpusatkan murid daripada guru. Namun, guru juga memainkan peranan untuk memantau apa yang dituturkan oleh murid. Murid juga terikat dengan peraturan-peraturan yang betul termasuk juga kemahiran menggunakan bahasa mengikut konteks dan situasi. 11 3.2 Teknik Pengajaran Lisan Terdapat beberapa teknik yang sesuai untuk pengajaran lisan. Antara teknik kemahiran lisan yang boleh dijalankan ialah, a) Teknik perbualan Guru menjalankan aktiviti perbualan berdasarkan tajuk yang akan diajarkan. Aktiviti perbualan dijalankan di dalam kelas melibatkan murid dengan guru, dan murid dengan murid. b) Teknik Bercerita Dalam pengajaran lisan, bercerita memainkan peranan yang penting, bukan sahaja di kalangan kanak-kanak malah juga di kalangan orang-orang dewasa. Terdapat beberapa objektif dalam aktiviti bercerita, iaitu; i) Menyuburkan daya imaginasi kanak-kanak ii) Membina rasa hati iii) Menyuburkan akal dan kecerdasan murid iv) Menggalakan perkembangan bahasa murid c) Teknik Lakonan Lakonan bukan sahaja dapat melatih kanak-kanak bertutur dengan baik malah dapat juga mendorongkan mereka beraksi dengan gerak-geri yang bersahaja. Jenis lakonan yang boleh digunakan ialah; i) Lakonan bisu ii) Lakonan berkait iii) Lakonan berseni kata dan menggunakan pergerakan iv) Lakonan menggunakan patung 12 d) Teknik Perbincangan Aktiviti perbincangan adalah satu aktiviti lisan yang berbentuk perbualan dijalankan di bawah seliaan guru di kalangan murid-murid. Murid-murid diberi tajuk dan tajuk itu diperbincangkan sama ada secara berkumpulan atau keseluruhan kelas. Murid-murid diberi peluang untuk menyatakan pandangan atau pendapat masing-masing. Murid-murid digalakkan berfikir dengan jelas, mengutarakan idea-idea bernas dan logik serta bekerjasama dengan murid-murid lain untuk menyelesaikan matlamat perbincangan. e) Teknik Syarahan atau Pidato Aktiviti ini dijalankan apabila murid-murid dapat menguasai bahasa dengan baik, boleh bertutur dengan gaya dan nada dan intonasi yang betul. Tajuk yang diajar mestilah sesuai dengan umur dan pengetahuan murid-murid. Tajuk syarahan atau pidato boleh diberikan lebih awal agar murid tersebut lebih bersedia. f) Teknik berpuisi Bertujuan supaya murid dapat mendeklamasikan puisi dengan gaya, nada dan intonasi yang betul. Aktiviti ini juga dapat mengcungkil bakat murid dalam berpuisi dan memdidik murid yakin terhadap diri sendiri. Antara bentuk-bentuk puisi ialah pantun, syair dan sajak. g) Teknik Temu ramah Sesi temu ramah atau temu bual boleh juga diadakan untuk menambahkan lagi kemahiran lisan murid-murid. Aktiviti ini dijalankan secara spotan atau murid diberikan dialog terlebih dahulu sebelum aktiviti ini dijalankan. 13 3.3 Kaedah Pengajaran Lisan Terdapat beberapa kaedah pengajaran lisan untuk memahirkan murid dalam kemahiran lisan, antaranya; a) Latih Tubi Latih tubi ialah latihan yang dimulakan dengan penyebutan guru dan kemudian murid-murid meniru dan mengulangi sebutan tersebut secara beramai-ramai, dalam kumpulan besar,kumpulan kecil dan selanjutnya secara individu. Sekiranya murid menghadapi masalah guru akan menyebut semula dan meminta murid-murid mengulangi sebutan itu lagi. Latih tubi sebutan meliputi latih tubi penyebutan ayat, frasa, perkataan, suku kata, dan dan bunyi-bunyi fonem yang diambil daripada bahagian dialog yang akanditiru dan dihafal oleh murid-murid. Latih tubi penyebutan bunyi meliputi lati tubi menyebut bunyi fonem dalam perkataan yang mungkin menimbulkan masalah sebutan di kalangan murid-murid. Latih tubi amat perlu dijalankan khusus untuk murid-murid yang bermasalah pembelajaran. Selain mereka terlibat dengan masalah pertuturan terutamanya dalam sebutan, mereka juga sangat lemah dalam ingatan jangka pendek dan jangka panjang. Kaedah latih tubi ini akan dapat membantu mereka mengingat akan kemahiran yang diajar dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran. b) Dialog dan Nyanyian Dialog atau perbualan merupakan bahan yang sering digunakan dalam latihan lisan. Bahagian-bahagian dialog akan diberi oleh guru agar murid dapat meniru dan menghafal dialog. Teknik latih tubi dialog adalah sama dengan teknik latih tubi pola ayat. Kadang- kadang seni kata lagu digunakan sebagai bahan untuk ditiru dan dihafal oleh murid-murid. Aktiviti nyanyian dapat membantu murid-murid menguasai kemahiran lisan kerana menyanyi memerlukan penyebutan bunyi-bunyi dengan betul, mengikut rentak dan nada yang tertentu. 14 c) Latihan Pandang dan Sebut Gambar-gambar boleh digunakan bagi menghasilkan pertuturan dalam kemahiran lisan. Latihan pandang dan sebut merupakan latih tubi bertutur dengan menggunakan gambar-gambar yang digunakan dalam teks latihan. Di samping itu kad- kad imbasan bergambar, carta bergambar, bahagian filem dan slaid boleh juga digunakan. Semua alat bantu ini digunakan dalam latih tubi supaya murid-murid dapat menghsailkan pertuturan yang diperlukan oleh guru. d) Karangan Lisan Karangan ini merupakan karangan dalam bentuk lisan yang dihasilkan oleh murid-murid berdasarkan bahan yang diberi oleh guru. Bahan tersebut adalah dalam bentuk bersoal jawab, latihan penghasilan dan karangan bebas. Latihan bersoal jawab merupakan latihan lisan yang bedasarkan petikan yang dibaca ataupun senarai gambar yang diberi. Dalam latihan ini, murid-murid dikehendaki menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru secara lisan. Dalam latihan penghasilan pula, murid-murid diberikan petikan untuk dikaji. Kemudian murid-murid dikehendaki menghasilkan petikan itu semula dengan menggunakan perkataan mereka sendiri. Karangan bebas hanya diberikan pada peringkat tertentu sahaja. Murid-murid dikehendaki mencari bersama, butiran tentang tajuk tersebut dan mereka dikehendaki berbual tentang tajuk tersebut. 4.PENGESANAN DAERAH KELEMAHAN LISAN Guru memainkan peranan utama untuk mengesan kelemahan murid dalam menguasai kemahiran lisan. Guru dapat mengesan kelemahan murid dengan mengamati setiap sebutan dan intonasi pertuturan mereka ketika aktiviti lisan dijalankan. 15 Di samping itu, guru juga boleh membuat pengesanan khusus dengan merangka, membina serta melaksanakan ujian lisan seperti; a) Mengamati bunyi-bunyi bukan bahasa b) Mengamati bunyi-bunyi bahasa dan lain-lain elemen linguistik bahasa c) Memahami konsep dan maksud perkataan atau ayat d) Melakukan auding yang merangkumi aspek-aspek pengamatan pendengaran e) Mendengar secara kritikal Guru juga boleh mengesan atau menguji kemahiran lisan dengan menganalisis rakaman rakaman yang dibuat berdasarkan sebutan-sebutan atau pengujaran murid-murid. Selain itu, guru juga boleh menguji kefahaman murid tentang perkara-perkara yang didengar dengan menyediakan item-item soalan yang khusus berkaitan ‘auding’. 4.1 Cara Untuk Memperbaik Kelemahan Kemahiran Lisan Cara untuk memperbaik kemahiran lisan adalah dengan guru-guru memainkan peranan sebagai model penutur yang baik untuk ditiru oleh murid-murid. Selain itu, guru juga seharusnya memperbanyakkan lagi aktiviti dan gerak kerja lisan. Latih tubi juga harus diperbanyakkan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan murid seperti latih tubi sebutan dan intonasi. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran juga harus dipelbagaikan selain aktiviti peneguhan dan pengukuhan serta merta. Di samping itu juga, guru harus bijak menggabungjalinkan kemahiran bacaan dan tulisan dalam pengajaran dan pembelajaran agar kemahiran lisan dapat dikuasai oleh murid. Situasi yang menggalakkan murid untuk bertutur juga harus dipelbagaikan seperti susun atur murid, tempat duduk, pertandingan (kuiz) dan sebagainya. 16 4.2 Perkara-perkara penting dalam pengajaran lisan Semasa guru menjalankan aktiviti lisan, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian; a) Penutur yang dihasilkan hendaklah secara spotan, bernas dan mudah. Pengujaran yang baik hendaklah jelas dan lantang, tersusun rapi, dan senang difahami oleh pendengar yang ada. b) Topik-topik yang akan diajar perlu dipilih, disusun dan mengikut pengetahuan sedia ada murid. c) Wujudkan bahan rangsangan yang membolehkan murid bercakap mengenainya. d) Galakkan murid-murid mengeluarkan idea-idea baharu serta memilih bahan-bahan mereka sendiri. e) Ketika penyampaian pengajaran, penekanan harus diberikan kepada darjah pencapaian murid-murid dalam pelajaran itu dengan; - Memastikan setiap murid diberi peluang untuk mengambil bahagian - Memastikan hanya seorang murid sahaja yang bercakap pada sesuatu ketika - Memastikan setiap murid mendengar apa yang dinyatakan oleh si penutur f) Peniruan sebutan oleh murid-murid mestilah lebih kerap dan bukannya hanya untuk sekali dua sahaja. g) Ulang pelajaran dengan teknik latih tubi yang terdahulu dalam pelajaran-pelajaran yang berikutnya untuk memperkukuhkan ingatan murid-murid h) Semasa murid-murid meniru sebutan, guru mestilah mengamatinya dan jika didapati mereka melakukan kesalahan, pembetulan hendaklah dibuat secara spotan oleh guru atau rakan mereka yang lain. 17 KESIMPULAN Kesimpulannya, kemahiran lisan adalah satu kemahiran bahasa yang penting kerana manusia berkomunikasi secara lisan lebih banyak daripada kemahiran yang lain. Kemahiran lisan adalah kemahiran paling awal dikuasai seseorang sebelum mereka menguasai kemahiran yang lain. Justeru itu, seseorang yang dapat menguasai kemahiran lisan dengan baik dijangka dapat juga menguasai kemahiran – kemahiran bahasa yang lain dengan sempurna. Dalam membina kemahiran lisan, seseorang guru itu perlu bijak menghubungkan pendekatan, kaedah dan teknik agar strategi pengajaran dalam kemahiran lisan dapat mencapai objektif pembelajaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan